MUKADIMAH
1. Selaras dengan semangat negara merdeka yang sedang membangun, Dasar Wanita Negara ini mendukung cita-cita Negara dan Perlembagaannya bagi menjamin kedaulatan, kemakmuran, keadilan, kebebasan serta hak-hak asasi manusia untuk semua rakyat.
2. Memandangkan kaum wanita berupa potensi sumber pembangunan yang baru mendapat pengiktirafan, maka Dasar wanita ini bermaksud untuk memberi panduan dan tuju hala dalam segala usaha perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan negara semoga kepentingan dan penyertaan wanita tidak terabai, baik sebagai sasaran mahupun sebagai agen-agen pembangunan masyarakat moden.
3. Menyedari hakikat bahawa perpaduan adalah asas bagi semua kemajuan dan pembangunan negara kita, Dasar ini menekankan betapa perlunya disusun rancangan yang teguh dan berkesan untuk menimbulkan konsep perpaduan di kalangan individu serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
4. Wanita telah sekian lama memainkan peranan aktif sebagai penyokong dalam bidang politik negara. Pembangunan ialah satu proses yang memerlukan penglibatan sepenuhnya daripada lelaki dan wanita. Oleh itu Dasar ini mengulangi pendirian yang menekankan penglibatan wanita yang aktif dan bererti dalam bidang politik.
5. Dasar ini mengambil kira minat, usaha dan penglibatan Kerajaan, kehendak-kehendak pertubuhan bagi menyokong beberapa resolusi di peringkat antarabangsa, kehendak-kehendak pertubuhan wanita Malaysia serta penubuhan jentera penggerak di peringkat Kerajaan Pusat, iaitu Urusetia Hal Ehwal Wanita (HAWA).
6. Beberapa dokumen penting telah dirujuk dalam pembentukan Dasar ini.
Di antara yang penting termasuklah:
a. Resolusi Persidangan Akhir Dekad Wanita Sedunia Bangsa-bangsa Bersatu (1975-1985) yang berlangsung di Nairobi, Kenya, pada tahun 1985 yang bertemakan “Forward Looking Strategies” bagi menghadapi tahun 2000. Resolusi-resolusi yang terkandung di dalam risalah antarabangsa ini telah pun diterima sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia.
b. Penyataan Dasar “Commonwealth Secretariat” mengenai wanita dan pembangunan yang ditandatangani oleh Ketua-ketua Kerajaan Komanwel di Nassau, Bahamas 1985.
c. “Commonwealth Plan of Action” bagi menyokong keberkesanan penyataan Dasar di atas yang disahkan oleh Kerajaan Malaysia di Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel pada tahun 1987 di Vancouver, Kanada.
d. Syor-syor yang dibuat oleh Persidangan Menteri-menteri Yang Bertanggungjawab Bagi Hal Ehwal Wanita di Harare, Zimbabwe, 1987, yang menyeru setiap Kerajaan supaya membentuk satu dasar mengenai wanita dan pembangunan untuk diintegrasikan ke dalam rancangan pembangunan negara.
e. Kertas kerja dasar yang disediakan oleh Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan (NACIWID) dan diluluskan oleh Majlis di mesyuaratnya pada 31 Januari 1986.
7. Di peringkat dalam negeri pula, beberapa perundingan dan bengkel telah diadakan oleh HAWA dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) bagi mendapatkan kata sepakat dan sokongan bagi syor-syor antarabangsa itu. Penglibatan Kerajaan telah diperolehi dalam semua peringkat usaha ini.
MATLAMAT DASAR WANITA NEGARA
Matlamat utama Dasar Wanita Negara ini ialah:
1. Bagi menjaminkan perkongsian saksama dalam memperoleh kemudahan sumber, maklumat, peluang penyertaan dan manfaat pembangunan kepada lelaki dan wanita. Matlamat persamaan dan kesaksamaan hendaklah dijadikan teras dasar pembangunan yang berorientasikan rakyat, supaya wanita, yang berupa separuh jumlah penduduk negara, dapat menyumbangkan dan mencapai potensi mereka sepenuhnya.
2. Bagi mengintegrasikan wanita dalam semua sector pembangunan negara selaras dengan kemampuan dan kehendak wanita bagi mempertingkatkan mutu kehidupan, membasmi kemiskinan, menghapuskan kejahilan dan buta huruf, dan menegakkan negara aman, makmur dan sentosa.
PRINSIP DAN GARIS PANDUAN UTAMA
Prinsip dan panduan utama Dasar Wanita ialah:
1. Bahawa Dasar Wanita ini hendaklah diselaraskan dengan dasar pembangunan negara, yang berlandaskan keluhuran Perlembagaan berkaitan dengan hak asasi rakyat, perlindungan undang-undang, perpaduan dan kebebasan.
2. Bahawa Dasar ini mengutamakan penyertaan dan penglibatan aktif bersama kaum wanita dan lelaki dalam proses pembangunan, baik di peringkat perancangan, mahupun di peringkat pelaksanaan dan penilaian impaknya.
3. Bahawa Dasar ini mengambil kira potensi tenaga manusia yang separuhnya terdiri daripada kaum wanita. Pengembangan dan pengintegrasian tenaga wanita hendaklah tidak terbatas kepada sektor-sektor tradisional sahaja, malah hendaklah menembusi semua sektor dan lapisan ekonomi, sosial, politik dan budaya.
4. Bahawa usaha pengintegrasi wanita dalam pembangunan hendaklah berupa tanggungjawab bersama sektor-sektor Kerajaan dan bukan Kerajaan. Pelaksanaan dasar ini adalah fungsi umum, bukan terbatas kepada satu jantina, ataupun sektor dan agensi tertentu.
5. Bahawa keperluan istimewa dan sifat kewanitaan tidak terjejas; tanggungjawab keibuan dan keluarga tidak dikorbankan dan maruah, moral dan nilai kehormatan wanita tidak diabaikan.
6. Bahawa taraf pendidikan dan keilmuan yang luas dan mendalam dipertingkatkan bagi kaum wanita sejajar dengan peranan dan penglibatan mereka dalam dunia dan masyarakat yang moden dan dinamis.
7. Bahawa sebarang diskriminasi yang berasaskan jantina yang merugikan kaum wanita dihapuskan dalam semua pertimbangan sewaktu membuat keputusan dan tindakan-tindakan selanjutnya.
8. Bahawa maklumat mengenai sasaran dan kesan rancangan pembangunan hendaklah mengandungi data keberkesanannya terhadap kaum wanita.
STRATEGI-STRATEGI BAGI PELAKSANAAN DASAR
Bagi membantu pihak perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan wanita beberapa strategi diperturunkan bagi menjaminkan kecekapan, keberkesanan, keselarasan dan keseragaman dasar dan tindakan:
1. Membangkitkan kesedaran, kepekaan dan kefahaman semua pihak mengenai isu dan kedudukan wanita.
2. Menyalurkan isu-isu wanita menerusi agensi pusat kepada institusi-institusi dan birokrasi Kerajaan dalam bentuk peraturan pentadbiran, sikap dan komitmen pihak pelaksanaan dasar.
3. Merancangkan pengagihan sumber-sumber kepada pelbagai sektor yang mengendalikan program berkaitan dengan isu-isu wanita.
4. Mendapatkan kerjasama di antara sektor-sektor Kerajaan dan di antara Kerajaan dengan bukan Kerajaan dalam proses pemusatan usaha-usaha bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam pembangunan.
STRATEGI DAN JANGKA MASA TINDAKAN
1. Memperkukuhkan Unit Hal Ehwal Wanita Sebagai Jentera
Pembangunan Wanita
Jentera negara bagi kemajuan ialah HAWA yang diletak dibawah Jabatan Perdana Menteri. Adalah wajar HAWA dipertingkatkan kuasa dan tarafnya dengan mewujudkan perhubungan dengan setiap Kementerian, mengadakan Penyelaras di setiap negeri supaya dapat bertindak dengan lebih berkesan mengenai hal ehwal wanita serta dapat mewujudkan program-program pembangunan tertentu bagi wanita di semua peringkat.
Jangka Masa Tindakan: Dilaksanakan serta-merta dan berterusan.
2. Mengorientasikan Dasar dan Tindakan Agensi Kerajaan Supaya Memasukkan Proses Perancangan, Pelaksanaan dan Pengawasan Program-program Pengintegrasian Wanita.
Dalam penggubalan dasar, perundangan, peraturan dan program oleh apa juga sektor atau agensi, pertimbangan mestilah dibuat tentang sumbangan dan implikasinya terhadap wanita; impak dan kesan yang negatif terhadap wanita hendaklah diawasi. Satu sistem penyelarasan dan kawalan bagi program-program yang komprehensif hendaklah diwujudkan bagi mengelakkan kesan-kesan negatif dan juga bagi mengesani rintangan dan masalah, sama ada dari segi undang-undang, mahu pun dari segi amalan, supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mengatasinya.
Semua program pembangunan mestilah mempunyai strategi yang menguntungkan wanita; penglibatan wanita di semua peringkat, daripada peringkat awal perancangan hingga ke peringkat penilaian, di peringkat nasional dan juga di peringkat tempatan, hendaklah terjamin.
Jangka Masa Tindakan: Dilaksanakan serta-merta dan berterusan.
3. Pendidikan dan Latihan Untuk Menyedarkan Pihak Pentadbiran Kerajaan Mengenai Isu Wanita
Bagi membangkitkan kesedaran dan komitmen institusi dan agensi Kerajaan, program latihan kepekaan jantina (gender sensitizing) di berbagai-bagai peringkat hendaklah diadakan. Di samping itu, program latihan mengenai wanita dan pembangunan hendaklah diadakan berterusan untuk kakitangan Kerajaan.
Jangka Masa Tindakan: Dilaksanakan serta-merta dan berterusan.
4. Penglibatan Badan-Badan Bukan Kerajaan
Kerajaan hendaklah berusaha melibatkan, dengan lebih giat dan berkesan lagi, semua organisasi bukan Kerajaan (NGO) dan badan-badan sukarela, dalam program dan tindakan pembangunan wanita. Dengan demikian, usaha negara bagi mengintegrasikan wanita dalam pembangunan dapat diperkuatkan lagi.
Bantuan kewangan, teknikal, nasihat dan institusi hendaklah diperuntukkan berterusan kepada persatuan-persatuan wanita bagi menggalakkan dan mempertingkatkan perkhidmatan mereka.
Jangka Masa Tindakan: Dilaksanakan serta-merta dan berterusan.
5. Membasmi Diskriminasi dan Mengambil Tindakan Tegas
Langkah-langkah khusus hendaklah diambil bagi membasmi diskriminasi terhadap wanita di mana hal ini berlaku. Dalam konteks ini, kelemahan undang-undang bagi menjaminkan hak wanita hendaklah dibaiki melalui tindakan-tindakan tegas. Tumpuan khas hendaklah dihalakan kepada kawasan-kawasan kurang maju di luar bandar, wanita yang tidak terdaya dan cacat, wanita dalam pekerjaan, wanita dan keperluan kesihatan, dan wanita dan peluang pendidikan.
Jangka Masa Tindakan: Dilaksanakan serta-merta dan berterusan.
6. Memajukan dan Menyelaraskan Penyelidikan Mengenai Isu Wanita
Menyedari hakikat bahawa kurangnya data dan maklumat mengenai kedudukan wanita sebenarnya, maka Kerajaan hendaklah menggalak dan membantu penyelidikan dan kajian mengenai wanita. Di samping itu Kerajaan hendaklah menentukan bahawa segala pengumpulan data dan maklumat oleh berbagai-bagai sektor dan agensi kerajaan mengasing-asingkan butiran maklumat mengikut jantina. Dengan demikian, keperluan dan kesan program pembangunan dapat dikenalpasti supaya dasar serta tindakan lanjut dapat diambil.
Jangka Masa Tindakan: Dilaksanakan serta-merta dan berterusan.
7. Peruntukan Anggaran Belanjawan
Kerajaan hendaklah menentukan bahawa Kementerian-kementerian dan Agensi-agensi yang berkenaan menggunakan peruntukan yang telah diluluskan dengan mengubah suai tindakan bagi memenuhi program dan projek pembangunan wanita.
Jangka Masa Tindakan: Dilaksanakan serta-merta dan berterusan.
RANCANGAN TINDAKAN MENGIKUT SEKTOR
Agar Dasar Wanita ini terlaksana dengan sempurna dan menyeluruh, beberapa strategi disenaraikan, ditinjau dari sudut-sudut yang amat berkait rapat dengan kemajuan dan pembangunan kaum wanita.
1. Jentera Nasional Bagi Pengintegrasian Wanita Dalam Pembangunan
Penubuhan HAWA sebagai unit di Jabatan Perdana Menteri dan sebagai Urusetia kepada Majlis Penasihat Mengenai Pengintegrasian Wanita Dalam Pembangunan (NACIWID) adalah satu langkah yang positif. Selaras dengan dasar disentralisasi tugas dan kuasa Kerajaan Pusat, maka adalah wajar bagi jentera pembangunan wanita dipertingkatkan. Dengan demikian dapatlah ia menjalankan fungsi dengan lebih berkesan serta mengadakan berbagai program di semua peringkat. Dengan penglibatan secara meluas ini maka dapatlah jentera ini mengenal pasti prioriti, kawasan dan peringkat tindakan tertentu dan merancangkan program tindakan sewajarnya.
1.1 HAWA hendaklah juga mempunyai hubungan yang berfungsi dengan semua Kementerian lain. Ia hendaklah bertindak sebagai pusat penyelaras, pengesan, dan pemeroses isu-isu untuk dikemukakan kepada NACIWID untuk mendapat pandangan, nasihat dan syor-syor untuk tindakan pihak Kerajaan dan pihak-pihak lain yang berkenaan.
1.2 Usaha bagi memperkukuh HAWA hendaklah termasuk program-program latihan pegawai dan kakitangan Urusetia supaya unit ini akan bertambah cekap dan dinamis.
1.3 Pengagihan bekalan kewangan sewajar dengan tugas dan fungsi HAWA yang lebih luas ini hendaklah ditentukan.
2. Kesihatan
2.1 Kesihatan kaum wanita adalah satu petanda yang penting tentang kedudukan dan taraf mereka. Bukan sahaja kesihatan penting untuk taraf wanita, malah sebagai ibu dan pengasuh anak-anak, mereka boleh mempengaruhi kesihatan seluruh keluarga dan masyarakat. Selain daripada bahaya penyakit-penyakit biasa, wanita memerlukan rawatan dan jagaan semasa mengandung, melahir, menyusu, memerlukan jaminan makanan yang berzat, serta perlindungan daripada tekanan emosi, jiwa dan jangkitan penyakit-penyakit merbahaya. Wanita juga sering terdedah kepada percubaan dan perubatan yang mungkin merbahaya seperti ubat dan alat mencegah kehamilan, keguguran bayi dan bermacam suntikan. Penyakit barah dan berbagai-bagai jangkitan menambahkan lagi kadar kematian ibu dan bayi.
2.2 Di negara kita masih terdapat jurang perbezaan mutu perkhidmatan dan kemudahan kesihatan di antara kawasan bandar dan luar bandar. Di kawasan luar bandar kekurangan kemudahan ini menyebabkan ramai wanita tidak berpeluang menikmati rawatan dan jagaan kesihatan yang sempurna. Dalam beberapa jenis pekerjaan wanita sering terdedah kepada bahaya tertentu, misalnya bahan kimia. Di samping itu, terdapat juga keadaan buta huruf dan kejahilan dikalangan wanita miskin, baik di kampung-kampung mahupun di sekitar kawasan setinggan dan ladang-ladang pertanian.
2.3 Antara tindakan-tindakan yang perlu diambil termasuklah:
i. Mewujudkan satu dasar kesihatan negara yang mengambil kira keperluan dan taraf kesihatan kaum wanita. Konsep kesihatan yang komprehensif hendaklah meliputi aspek kesihatan jasmani, mental dan emosi.
ii. Satu mekanisme hendaklah diwujudkan bagi memudahkan penyertaan berbilang sektor (Kerajaan dan bukan Kerajaan) bagi menjamin penyebaran perkhidmatan kesihatan yang sama rata di semua kawasan, serta menentukan usaha yang cekap dan berkesan sejajar dengan prioriti-prioriti tempatan.
iii. Menggalakkan perkembangan kedua-dua ilmu dan amalan perubatan cara moden dan tradisional sesuai dengan kehendak dan kemampuan masyarakat.
iv. Melaksanakan dasar yang berkesan tentang pencegahan penagihan dan penggunaan dadah dengan melibatkan semua pihak dan lapisan.
v. Mengadakan undang-undang yang dapat memberi perlindungan kepada pesakit daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memberi rawatan dan ubatan. Mangsa-mangsa rogol dan keganasan hendaklah diberi perlindungan daripada publisiti yang meruntuhkan maruah dan keperibadian mereka.
vi. Mengkaji undang-undang yang sedia ada, atau menggubal undang-undang baru yang bertujuan untuk memberi perlindungan kepada kaum wanita akan pekerjaan-pekerjaan yang membawa bahaya kepada kesihatan.
3. Pendidikan dan Latihan
3.1 Tujuan mutlak sektor ini adalah bagi menjamin peluang pendidikan kepada semua rakyat, lelaki mahupun wanita, supaya dapat mereka mengembangkan potensi individu dan berpeluang menyumbangkan peranan sebagai rakyat yang produktif dan berakhlak mulia.
3.2 Perkembangan potensi kaum wanita perlu mendapat perhatian khusus, kerana sistem yang ada sekarang wujud atas pertimbangan-pertimbangan yang mengutamakan kehendak dan keupayaan pihak lelaki. Sistem pendidikan dan latihan kebangsaan hendaklah mengintegrasikan fahaman taraf persamaan jantina, di samping memupuk sikap dan perspektif bagi menghormati dan mengiktiraf hak dan keupayaan wanita setaraf dengan kaum lelaki.
3.3 Dengan demikian, kandungan pelajaran yang bercorak kejantinaan (sexism) dan “streotyping” peranan wanita hendaklah dikikis daripada buku teks, bahan rujukan dan apa jua bahan yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran. Wanita telah pun membuktikan kebolehan dalam berbagai-bagai bidang dan lapangan; maka hakikat ini hendaklah mendapat gambaran dalam contohan sumbangan rakyat dan pembangunan.
3.4 Seterusnya, perlulah juga dikesani rintangan-rintangan yang masih menyekat penyertaan wanita sepenuhnya, baik dalam pendidikan asas, pelajaran vokasional, pelajaran tinggi mahupun dalam bidang-bidang pengkhususan profesional. Demikian juga, tidaklah boleh diabaikan golongan yang masih buta huruf, yang kejahilan ilmu pengetahuan dan kemahiran, kerana sebilangan besar golongan ini terdiri daripada kaum wanita.
3.5 Antara tindakan-tindakan yang perlu diambil termasuklah:
i. Memperbaiki dan mempertingkatkan mutu program pendidikan di semua peringkat. Satu semakan yang komprehensif perlu diusahakan dengan membuat perubahan-perubahan di mana perlu pada kurikulum, kaedah mengajar, kemudahan dan pengambilan pelajar untuk:
• Menghapuskan gambaran-gambaran yang merendahkan maruah dan imej wanita;
• Memudahkan penyertaan wanita dalam bidang-bidang yang diminatinya;
• Meyakinkan wanita untuk mengambil peluang latihan bagi menceburkan diri dalam lapangan sains dan teknologi moden;
• Memasukkan pendidikan kekeluargaan dalam semua kursus pendidikan dan latihan kerjaya untuk lelaki dan wanita;
• Menyemak dasar pengambilan dan pelaksanaan tugas institusi bagi menjamin diskriminasi terhadap wanita tidak diamalkan;
• Meluaskan lagi peluang latihan vokasional untuk wanita serta mengiktirafkan kemahiran-kemahiran wanita dalam bidang latihan dan pekerjaan;
• Menekankan institusi pendidikan dewasa serta peluang pendidikan sepanjang hidup agar kaum wanita dapat terus mengembangkan pengetahuan dan kemahiran mereka.
ii. Melibatkan agensi-agensi bukan Kerajaan bagi memajukan
peluang-peluang pendidikan.
Institusi-institusi swasta hendaklah diawasi supaya mereka tidak meneruskan diskriminasi terhadap wanita ataupun mengekalkan gambaran-gambaran yang menghinakan penyertaan wanita. Dasar Wanita Negara hendaklah meliputi semua sektor, baik Kerajaan mahupun bukan Kerajaan.
4. Undang-undang
4.1. Semua warganegara berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sewajarnya. Dengan penerimaan dasar persamaan taraf, maka perlu diperkuatkan undang-undang bagi menjamin hak wanita dari segi pemilikan harta, kerakyatan, peluang-peluang dan jagaan anak-anak (guardianship).
4.2 Undang-undang perlindungan perlu bagi wanita dalam pekerjaan, bagi wanita menunaikan kewajipan dan keibuan, bagi wanita yang bercerai atau terpisah dari suami, dan hak mereka dari sisi agama.
4.3 Kejahilan wanita tentang hak mereka di bawah undang-undang juga perlu diatasi, khususnya mereka yang berpelajaran rendah dan tidak mempunyai tempat untuk mendapat nasihat undang-undang.
4.4 Antara tindakan-tindakan yang perlu diambil termasuklah:
i. Menyemak dan mengemaskini undang-undang yang kurang berkesan;
ii. Melibatkan wanita dalam penggubalan dan pelaksanaan undang-undang
iii. Mengadakan biro pengaduan dan nasihat yang mudah didapati untuk wanita;
iv. Memberi pengetahuan mengenai hak individu di sisi undang-undang;
v. Menggubal undang-undang perlindungan daripada keganasan rumahtangga, pemberhentian dan eksploitasi dalam pekerjaan dan bagi mangsa rogol dan keganasan; dan
vi. Mewujudkan undang-undang keluarga yang saksama yang memelihara dan mempertahankan hak ibu kandung dan bagi menyelesaikan pertikaian keluarga dengan adil dan berperikemanusiaan.
5. Pekerjaan
5.1. Sektor ekonomi telah berkembang dengan pesatnya selepas merdeka. Namun demikian, manfaat pembangunan ekonomi, pada amnya, belum dapat dinikmati sepenuhnya oleh wanita. Penyertaan wanita perlu dipertingkatkan; kesan pembangunan hendaklah mempertingkatkan mutu kehidupan wanita, khususnya pekerja-pekerja buruh kasar, petani di luar bandar dan pekerja di kilang-kilang.
5.2. Walaupun penyertaan wanita dalam tenaga buruh telah bertambah sebilangan besar tenaga wanita adalah dalam golongan pendapatan rendah dan dalam pekerjaan bukan atau separuh mahir. Perkhidmatan sebagai suri rumah tidak mendapat nilai ekonomi dan kebanyakan wanita bertugas sebagai pekerja tidak bergaji.
5.3. Ramai pekerja wanita tidak mendapat perlindungan kesatuan sekerja; malah ramai wanita tidak mengetahui tentang hak-hak mereka sebagai pekerja. Ini menyebabkan mereka dipergunakan, diberi ganjaran gaji yang rendah dan tidak setimpal dengan pekerjaan, terpaksa menanggung beban rumah tangga, kewajipan keluarga, di samping menjalani kerja penuh masa, serta tidak menikmati kemudahan dan peruntukan pekerjaan yang sepatutnya. Pernah didapati juga pekerja wanita diganggu dan diperkosa oleh pihak majikan dan pengawasan.
5.4. Antara tindakan-tindakan yang perlu diambil termasuklah:
i. Perlu dipertingkatkan penyertaan wanita dalam bidang pekerjaan, sosial, ekonomi dan politik;
ii. Perlu diadakan perkongsian saksama tentang manfaat pembangunan;
iii. Perlu diperbanyakkan peluang pekerjaan, khususnya bagi wanita yang miskin dan tidak mempunyai punca pencarian nafkah hidup;
iv. Perlu ada ‘job description’ bagi semua jenis pekerjaan dan penentuan gaji yang sewajarnya, tanpa perbezaan jantina;
v. Perlu diadakan undang-undang perlindungan untuk semua jenis pekerjaan;
vi. Perlu diamalkan prinsip gaji sama untuk pekerjaan yang sama; dan
vii. Perlu dihapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam peluang-peluang kenaikan pangkat, latihan lanjutan dan pembuatan keputusan.
6. Politik
6.1. Wanita telah memainkan peranan aktif dalam dunia politik negara ini. Namun demikian penglibatan mereka dalam bidang politik kebangsaan amat terhad. Wanita adalah separuh daripada penduduk negara dan sumbangan mereka dalam parti-parti politik amat besar. Mereka juga memainkan peranan penting sebagai penarik pengundi, tetapi perwakilan mereka di Parlimen amat kecil. Wanita kekal menjadi kumpulan pengundi yang kuat, tetapi belum menunjukkan kekuatan mereka itu sebagai calon politik.
6.2. Proses pembangunan dalam bidang politik memerlukan penglibatan maksimum wanita dan lelaki. Faktor-faktor yang menyekat penglibatan politik wanita dan mutu politik mereka amat berhubung dengan keadaan sosio-budaya yang tidak menggalakkan penglibatan mereka dalam hal ehwal awam, kekurangan pendidikan dan kesedaran, serta kejahilan tentang hak-hak mereka, serta beban kerja yang berat hingga wanita tidak mempunyai masa untuk terlibat dalam politik.
6.3. Antara tindakan-tindakan yang perlu diambil termasuklah:
i. Kerajaan hendaklah mengadakan perundangan dan pentadbiran untuk menentukan penglibatan wanita sepenuhnya dalam bidang politik negara dan untuk menambahkan pengambilan, pencalonan dan penempatan wanita pada kedudukan penentuan dasar pada peringkat kebangsaan, negeri dan tempatan sehingga perwakilan saksama tercapai; dan
ii. Kerajaan hendaklah juga menentukan sokongannya terhadap kemunculan lebih ramai wanita ke peringkat perundangan dan eksekutif dalam Parlimen, Dewan Undangan Negeri, Kerajaan Tempatan dan badan-badan lain.
7. Media
7.1. Media amat berpengaruh bagi menonjolkan imej wanita. Imej yang negatif, berpura-pura, membazir dan sebagai sumber ghairah perlu dikikis. Penyertaan wanita dalam industri media masih berkurangan, dengan demikian sukar bagi mereka hendak mempengaruhi etika dan amalan prinsip yang mementingkan keuntungan pihak yang memiliki media. Selain itu, pandangan dari sudut wanita kurang mendapat perhatian dan sebaran.
7.2. Adalah perlu bagi wanita memainkan peranan yang lebih dinamis dalam mengembangkan mutu pancaran media, baik bagi dunia hiburan, maklumat, pendidikan, politik, perniagaan mahupun dalam lapangan antarabangsa.
7.3. Antara tindakan-tindakan yang perlu diambil termasuklah:
i. Meningkatkan penglibatan wanita dalam semua aspek perkembangan media. Ini termasuk dasar, perancangan program dan perkhidmatan, serta pengendalian projek-projek pembangunan;
ii. Menjalankan analisis jantina atas semua program supaya dapat mengesan penyertaan wanita sebagai penerbit, sebagai pengguna media massa dan penerima kesan media seluruhnya;
iii. Mengikis pendapat dan kesan-kesan negatif terhadap wanita dan program iklan dan pendapat yang disiarkan; dan
iv. Menggunakan pengaruh media bagi memupuk sikap dan nilai yang posotif tehadap wanita dan sumbangannya.
8. Agama
8.1. Agama ialah satu sumber yang berpengaruh bagi mengeratkan perpaduan ummah dalam proses sosialisasi rakyat. Nilai-nilai murni dikongsi bersama oleh berbagai agama, iaitu Islam, Hindu, Buddha, Kristian dan Yahudi. Adalah penting nilai-nilai sejagat yang positif ditonjolkan daripada membangkitkan perbezaan-perbezaan dan keanehan yang merendahkan maruah mana-mana pihak. Sebagai prinsip dan pedoman hidup, amalan agama hendaklah menyokong kesaksamaan, keamanan keadilan, toleransi dan kesejahteraan rakyat.
8.2. Antara tindakan-tindakan yang perlu diambil termasuklah:
i. Mendapatkan pandangan wanita dalam membentuk fatwa yang melibatkan wanita dan isu wanita;
ii. Menggalakkan penyertaan wanita dalam semua aktiviti keagamaan;
iii. Mewujudkan perbincangan antara berbagai-bagai agama sebagai usaha mencapai persefahaman;
iv. Menjadikan agama sebagai asas ke arah pemodenan masyarakat berbilang kaum; dan
v. Mewujudkan suasana perkongsian hidup yang sihat di kalangan wanita dan lelaki.
9. Kebudayaan
9.1. Kebudayaan negara ialah sumbangan rakyat yang terdiri daripada lelaki dan wanita. Seni Rakyat, sukan, adat resam, amalan tradisional merupakan sumbangan istimewa rakyat. Oleh yang demikian, dasar kebudayaan negara hendaklah memberi perhatian dan layanan yang seimbang bagi mengembangkan penyertaan wanita yang sewajarnya.
9.2. Antara tindakan-tindakan yang perlu diambil termasuklah:
i. Penyertaan wanita dalam bidang seni perlu mendapat perhatian bagi mengembangkannya;
ii. Kemudahan dan galakan hendaklah diberi kepada wanita untuk menyertai semua kegiatan budaya dan seni;
iii. Diskriminasi dalam bidang seni dan budaya hendaklah dihapuskan;
iv. Penyertaan wanita dalam Majlis Perundingan Kebudayaan Kebangsaan hendaklah dipertingkatkan; dan
v. Amalan yang melibatkan wanita secara ‘tokenism’ diberhentikan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan