Sabtu, 28 Mei 2011

Bangsa Malaysia Melalui Sistem Pendidikan









Kebelakangan ini, sejak keputusan Pilihanraya Umum 2008 banyak forum, perbincangan dan perdebatan mengenai konsep bangsa Malaysia dan bagaimana dalam pendapat sesetengah orang, rakyat Malaysia sudah bersedia menolak politik bersadarkan perkauman dan sebagainya. Orang sudah mula mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), meritokrasi dalam Universiti, kuota-kuota tertentu, perubahan dalam badan kehakiman dan yang paling hangat adalah isu pengunaan ISA. Ini membuat saya terfikir, adakah dengan perubahan-perubahan seperti ini, rakyat Malaysia akan benar-benar bersatu bawah satu naungan pengenalan atau identiti kebangsaan yang dikenali dengan bangsa Malaysia?
Sebelum perbincangan ini diteruskan adalah baik sekiranya kita memahami apa erti bangsa Malaysia. Pandangan peribadi saya ialah nampak banyak yang suka memperbincangkan tajuk ini, namun ramai yang tidak benar-benar memahami ertinya. bangsa Malaysia ialah identiti kebangsaan rakyat Malaysia, dengan kata lain, seseorang itu tidak lagi ditakrifkan dari keturunan nenek moyangnya atau warna kulit, tetapi di bawah naungan satu ideologi, nilai-nilai dan kewarganegaraan. Walaupun kita datang dari identiti perkauman yang belainan (keturunan, warna kulit, adat resam dan bahasa ibunda) bersama-sama kita bersatu bawah naungan satu identiti kebangsaan, satu bangsa, satu bahasa iaitu bangsa Malaysia. Secara teori itulah pengertian bangsa Malaysia, sama seperti konsep identiti kebangsaan rakyat Perancis yang mana atas dasar "secularism" rakyat Perancis boleh bersatu di bawah satu bahasa, nilai-nilai kebangsaan dan memecah halangan warna kulit dan agama.
Maka dapat disimpulkan bahawa bangsa Malaysia ialah satu bentuk identiti dan bukannya sesebuah dasar (policy). Ianya tidak boleh dipaksa atau dilaksanakan begitu sahaya dan hanya boleh timbul melalui kesedaran dalam rakyat Malaysia yang mana mereka boleh dan mahu bersatu di bawah satu identiti kebangsaan. Menamatkan DEB adalah satu perubahan dasar yang memberi akan kesan kepada ekonomi negara, ianya berkemungkinan memberikan kesan positif kepada ekonomi negara namun saya tidak lihat ianya dapat memberi kesan yang besar terhadap perhubungan antara kaum di Malaysia. Perubahan dalam sistem kehakiman akan memberi kesan kepada sistem perundangan dan keadilan di Malaysia manakala pemansuhan ISA pula adalah perubahan dasar yang memberi kesan kepada sistem demokrasi di negara ini. Jadi saya tidak nampak perkaitan yang jelas antara perubahan dalam dasar-dasar yang telah disebutkan dengan konsep penyatuan rakyat Malaysia untuk bangsa Malaysia.
Barangkali sesetengan pembaca agak sukar untuk menerima pandangan saya ini namun apa kata kita berfikir sejenak mengenai perkara ini. Adakah dengan pemansuhan ISA, Ali, Ah Chong dan Muthu akan menjadi kawan baik serta melupakan perbezaan di antara mereka? Adakah dengan mengadakan sistem tender terbuka kini Muhammad akan lebih baik dengan jiran sebelahnya yang berketurunan Cina kerana kini mereka mempunyai peluang yang sama untuk merebut tender dan kontrak kerajaan? Jangan salah faham dengan mengatakan yang saya membantah perubahan dasar ini, perubahan dasar-dasar ini saya percaya ada kesan positifnya terdapap negara kita, namun apa yang saya hendak ketengahkan ialah perubahan dasar-dasar ini tidak benar-benar mencerminkan perubahan dari segi perhubungan antara kaum di negara kita ini.
Saya sekali lagi mengambil contoh pengalaman peribadi saya ketika menghadiri universiti beberapa tahun yang lalu. Ketika itu saya diterima untuk meneruskan pengajian tinggi di Universiti Teknologi Malaysia yang terletak di Skudai, Johor. Saya yang agak gembira kerana UTM merupakan universiti Kejuruteraan yang terbaik di Malaysia dan di UTM ianya terbuka kepada semua bangsa tidak seperti sesetengah instituti pengajian tinggi awam. Ketika itu, sistem meritokrasi telah dilaksanakan di UTM dan kerana saya datang dari sekolah kebangsaan, saya agak gembira dengan harapan untuk mengulangi pengalaman saya bercampur-gaul di kalangan pelajar yang berlainan bangsa. Bagi saya, itu adalah satu pengalaman yang menyeronokkan. Namun, saya terkejut apabila pada hari pertama saya memasuki dewan kuliah - secara automatik pelajar-pelajar mengasingkan diri mereka berdasarkan identiti perkauman. Pelajar Melayu semuanya duduk di kawasan pelajar Melayu, pelajar Cina akan berkumpul di satu kawasan dewan kuliah dan begitu juga dengan pelajar India.
Perkara ini akan berlanjutan sepanjang tempoh pembelajaran saya di sana tak kira di kelas, persatuan atau kelab, mahupun aktiviti masa lapang. Pelajar-pelajar yang ditawarkan pengajian di UTM merupakan antara yang terbaik di Malaysia dan pelajar Melayu terbaik biasanya datang dari sekolah berasrama penuh, pelajar terbaik dari kaum Cina biasanya datang dari sekolah jenis kebangsaan. Hanya beberapa pelajar di UTM yang datang dari sekolah kebangsaan atau sekolah teknik.
Maka, dari contoh di atas dapatlah kita lihat yang kunci kepada konsep bangsa Malaysia ialah pembentukan identiti generasi masa hadapan rakyat Malaysia. Identiti seseorang itu dibentuk bukan ketika dia telah dewasa atau matang, namun ianya harus dibentuk dari zaman kanak-kanak lagi. Dari tadika hingga dewasa, kita dibentuk dan dibina dengan apa yang kita diajar dan dari keadaan sekeliling kita. Dengan siapa kita bergaul merupakan satu perkara yang benar-benar memberi kesan kepada pembentukan sahsiah diri seseorang itu terutama dalam usia remaja.
Oleh itu, bagaimana dapat kita membentuk satu identiti kebangsaan sekiranya anak-anak kita tidak bergaul antara satu sama lain? Bagaimana dapat kita membentuk bangsa Malaysia sekiranya pada masa yang sama kita mempunyai sistem pendidikan yang berasingan, dengan bahasa pengantar yang berlainan dan secara tidak langsung membentuk identiti yang berbeza? Supardi dan Muthu tidak akan memancing bersama dan menyanyikan lagu "Ikan di laut, asam di darat," sekiranya mereka langsung tidak pernah berjumpa atau bergaul ketika sedang membesar.
Kita tidak boleh mempunyai dasar pendidikan yang bersifat pengasingan dan pada masa yang sama mengharapkan bangsa Malaysia. Apa yang lebih memelikkan lagi pula, orang-orang yang menyahut dan memperjuangkan Bangsa Malaysia boleh pada masa yang sama menjadi jaguh atau hulubalang yang dengan keras dan hebat mempertahankan sistem pendidikan yang berasingan ini. Apa yang menyedihkan ialah bangsa Malaysia kini lebih banyak digunakan sebagai alat politik dan penarik sokongan ketika pilihanraya dari satu kesedaran umum. Ianya lebih banyak digunakan dalam ceramah-ceramah sebagai penarik undi dari memperkenalkan atau memperjuangkan dasar-dasar yang dapat menyatukan rakyat kita.
Bangsa Malaysia tidak boleh direalisasikan sekiranya kita masih berpegang teguh kepada sistem pendidikan yang mengasingkan anak-anak kita serta membentuk identiti yang berbeza. Perlu dihentikan sistem sekolah jenis kebangsaan, buka sekolah berasrama penuh dan benarkan, serta anugerahkan hak anak-anak kita untuk bergaul dengan orang yang mempunyai warna kulit, agama dan adat resam yang berlainan.
Bangsa Malaysia - Satu Bangsa, Satu Bahasa dan Satu Negara.

sumber: http://www.projectmalaysia.org/articles/bangsa-malaysia-melalui-sistem-pendidikan.html







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails