Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan

Selasa, 10 Mei 2011

Punca Masalah Perkauman

Pemimpin-pemimpin kita gemar mengadu mengenai masalah polarisasi kaum. Biarlah di universiti ataupun di pejabat, sesiapa pun boleh lihat bahawa rakyat jelata lebih gemar bergaul dengan rakan dari kaum yang sama. Inilah sebab kerajaan mengadakan program Khidmat Negara - supaya dewasa-dewasa muda tidak perlu takut berkawan dan bergaul dengan rakan-rakan dari kaum yang lain. Memang benar, usaha ini harus dilaung, tetapi ia bukan satu penyelesaian untuk masalah polarisasi kaum yang sudah ke tahap yang amat serius. Dari umur kecil lagi, masyarakat kita dibahagi mengikut kaum; dan kalau menjelang umur 18 tahun, barulah kita menggalakkan perpaduan kaum, ternyatalah tindakan ini adalah terlalu lambat. Oleh kerana itu, sistem pendidikan rendah dan menengah kita mesti dibentuk semula untuk mengelak pembahagian dan perpisahan mengikut barisan kaum.

Sebelum pemodenan, sebelum tiap-tiap anak memasuki sekolah, tidak susah membuat kawan daripada kaum dan bangsa yang lain. Dalam masyarakat kita yang cukup majmuk, pada bila-bila masa kanak-kanak tentulah bermain dan berborak dengan rakan seumur mereka, tidak kira bangsa. Masalahnya muncul apabila kanak-kanak masuk sekolah. Kalau mereka semua menghadiri sekolah yang sama, tiadalah masalah - tetapi oleh kerana pihak kolonialis enggan menyokong satu sistem sekolah untuk semua rakyat, kita sudah biasa dengan menghantar anak-anak kita ke sekolah mengikut keturunan masing-masing.
Kalau terdapat cukup peluang untuk kanak-kanak bergaul dan berinteraksi dengan rakan-rakan mereka daripada keturunan lain di luar sekolah, kita masih boleh mengelak persoalan polarisasi kaum. Tetapi dalam zaman urbanisasi ini, kita hidup dalam masyarakat di mana kanak-kanak tidak berinteraksi dengan jiran kerana mereka lebih gemar bersembang dan bergaul dengan rakan sekolah.
Hakikatnya sekarang ialah, anak Melayu pergi sekolah kebangsaan, kalau anak Cina pergi sekolah jenis kebangsaan Cina, kalau anak India pergi sekolah jenis kebangsaan Tamil, mana adanya perpaduan nasional? Realitinya, kita sudah mengamalkan suatu sistem pendidikan berdasarkan segregasi.
Saya kadangkala membangkitkan isu ini dengan rakan keturunan Cina saya, tetapi respon mereka hampir selalunya sama: pendidikan dalam bahasa ibunda kritikal untuk mengekalkan budaya dan identity Cina! Tambahan pula, kata mereka, dengan pembangunan pesat di negara Cina, sesiapa yang fasih dalam bahasa Mandarin, tentulah masa hadapannya cerah. Namun demikian, pada pendapat saya kompromi antara kaum-kaum di Malaysia sangat mustahak, demi masa depan negara kita.
Biasanya penyokong sistem yang diamalkan sekarang akan mengelakkan isu perpaduan dan pergaulan antara pelajar-pelajar daripada keturunan yang berlainan. Tetapi, ini bukanlah isu yang kecil; kalau anda hanya mempunyai kawan baik daripada satu kaum, apa kemungkinan anda boleh bergaul, berinteraksi dengan mereka yang mengamal budaya dan agama yang lain?
Oleh itu, mustahil menafikan kenyataan ini: sistem pendidikan kita pada masa sekarang menjejaskan perpaduan nasional. Penyelidik-penyelidik di Britain sudah mendapati kanak-kanak yang menghadiri sekolah di mana para pelajar terdiri daripada kanak-kanak yang terutamanya dari satu kaum sahaja, lebih mungkin bertembung dengan masalah berkawan dengan dan memahami orang daripada keturunan dan kaum yang lain.
Ini bukan maksud kita mesti memansuhkan sekolah jenis kebangsaan; bagi sebahagian rakyat, sistem sekolah ini mungkin lebih sesuai daripada sekolah kebagsaan. Tetapi saya berpendapat sekolah kebangsaan seharusnya memadai bagi kebanyakan pelajar dan ibu-bapa.
Jadi bangkitlah soalan seterusnya: mengapa kebanyakan keluarga Cina dan India membuat keputusan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan? Saya fikir terdapat dua sebab utama: isu akademik dan iklim sosial.
Sebagai seorang yang telah menghadiri sekolah kebangsaan, saya boleh beritahu anda: kualiti akademik di sekolah kebangsaan amat rendah. Tiada bandingan dengan sekolah jenis kebangsaan Cina; di sana, guru-guru berdedikasi dan mendorong pelajar-pelajar untuk cemerlang dalam pelajaran mereka. Di sekolah kebangsaan, guru-guru lebih kerap tiada motivasi untuk mengajar. Tambahan pula, sekolah jenis kebangsaan mengajar bahasa ibunda pelajar Cina dan Tamil; tentulah ibu-bapa Cina dan Tamil lebih suka menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan.
Masalah yang lain, lebihlah rumit: iklim sosial di sekolah kebangsaan biasanya tidak begitu bertolak ansur. Sebagai contoh, lihatlah kejadian yang baru berlaku sebulan lalu: seorang guru di satu sekolah menengah kebangsaan memberitahu pelajar-pelajarnya bahawa budak India merupakan anak pelacur, di antara banyak lagi kenyataan yang menghina. Kejadian seperti ini bukan begitu jarang; di sekolah menengah kebangsaan saya, seorang guru berkata rakyat Malaysia berketurunan Cina tidak boleh dipercayai untuk mempertahankan negara Malaysia dan memanggil kami "pendatang asing". Di sekolah-sekolah lain, aktiviti-aktiviti kadangkala diadakan pada hari Ahad atau hari perayaan agama yang lain, dan kakitangan sekolah bukan selalunya bertolak ansur. Semua kejadian kecil ini, apabila dijumlahkan, amat menakutkan bagi ibu-bapa Cina dan India.
Kesimpulannya, sistem sekolah kebangsaan haruslah dibentuk semula kalau kita betul-betul mahu memupuk perpaduan. Guru-guru dan kakitangan sekolah mestilah lebih bertolak ansur dan lebih bermotivasi. Mereka yang enggan menerima hakikat bahawa kita tinggal di negara dan masyarakat yang majmuk patut berdepan dengan akibat yang serius. Untuk meningkatkan motivasi guru-guru, gaji harus naik. Kalau kerajaan kita mahu memupuk semangat perpaduan di sekolah kita, guru-guru mestilah jadi su atu contoh untuk para pelajar. Dengan ini, barulah sistem sekolah kebangsaan kita menjadi sistem sekolah kebangsaan, bukan sistem sekolah Melayu.
Selain itu, isu bahasa juga mesti ditangani. Sekolah kebangsaan tidak boleh menggantikan sekolah jenis kebangsaan, tetapi mereka masih boleh mengadakan kelas-kelas untuk bahasa Mandarin dan bahasa Tamil. Ini lebih baik daripada tidak mengadakan apa-apa kelas untuk bahasa ibunda kaum lain. Apabila isu bahasa ditangani, dan apabila ibu-bapa boleh mempercayai guru-guru ini, tiadalah halangan kepada satu sistem sekolah kebangsaan.
Semua, biarlah masyarakat Melayu ataupun masyarakat-masyarakat bukan Melayu, mesti sedia berkompromi sedikit. Dalam iklim masyarakat yang majmuk, hanya kompromi akan mengelakkan keganasan dan huru-hara. Mungkin cadangan-cadangan saya tidak begitu sesuai untuk masyarakat kita; itu tidak apa. Yang kita mesti tumpukan ialah masalah perpaduan; masalah sistem sekolah kebangsaan. Suatu sistem yang pada terasnya merupakan sistem yang dibahagi mengikut keturunan akan menyumbang kepada polarisasi kaum. Apa-apa sistem pun, biarlah sistem kerajaan, sistem pendidikan, sistem korporat, asalkan mengikut dasar pemecahan rakyat dari segi kaum, akan tetap gagal menyatupadukan rakyat.

sumber:http://www.projectmalaysia.org/articles/sistem-pendidikan-di-malaysia-punca-masalah-perkauman.html

Wajib Masuk U!


Kalau tahun 60-an dulu, seseorang yang lulus sijil SPM atau MCE sudah dianggap tinggi pencapaian akademiknya. Di waktu itu kalau lulus SPM pun sudah mudah untuk mendapat pekerjaan yang baik, dan untuk bekerja di jabatan kerajaan sebagai kakitangan rendah atau buruh kasar, hanya memerlukan lulus sijil SRP (PMR) atau LCE sahaja.


Tetapi sekarang, keadaan telah berubah, ada sijil diploma pun belum tentu boleh dapat pekerjaan yang bagus. Malah ramai graduan yang mempunyai ijazah pertama (sarjana muda) tidak mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka.

Matlamat atau dasar pendidikan kita sekarang ialah untuk menjadikan semua rakyat mendapat pendidikan hingga ke peringkat universiti, sekurang-kurangnya mempunyai ijazah pertama. Masalahnya, dapatkah kita menyediakan kepada semua mereka itu peluang pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka?

Bila sudah ada ijazah pertama, pekerjaan yang setaraf dengan sijil mereka itu adalah menjadi doktor perubatan, doktor gigi, jurutera, pegawai penyelidik, akauntan, peguam, hakim, pegawai tadbir, juruukur, guru sekolah menengah dan pensyarah. Tetapi bilangan pekerjaan tersebut adalah terhad dan tidak akan dapat menampung jumlah pemegang-pemegang ijazah pertama yang ada.

Tentu mereka akan rasa rendah diri dan malu jika bekerja sebagai kerani, jururawat dan juruteknik sahaja. Belajar tinggi-tinggi tetapi kerja sebagai ‘kuli’ saja, mana ada kelas.

Tetapi dalam keadaan terdesak, mereka tetap jugalah bekerja dan membuat apa saja kerja kerana sudah tidak ada pilihan, untuk meneruskan kehidupan, dan terpaksalah membuang rasa malu kerana mengorbankan ‘status’ akademik mereka.

Adakah satu langkah yang tepat untuk memasukkan semua rakyat ke universiti?

Sekarang ini, setiap orang rakyat Malaysia diwajibkan melalui alam sekolah dari darjah satu hingga tingkatan lima. Apakah pada masa akan datang, perlu diwajibkan pula setiap rakyat mesti belajar hingga ke peringkat universiti?

Sekarang ini pun sudah timbul dakwaan dari berbagai pihak, graduan yang keluar dari universiti-universiti tempatan tidak berkualiti. Kita mungkin berbangga dengan kuantiti graduan yang dihasilkan tetapi bagaimana dengan kualitinya?

Universiti hanya boleh mengajarkan ilmu pengetahuan kepada semua orang, tetapi universiti tidak boleh mengajarkan kebijaksanaan kepada seseorang. Kebijaksanaan adalah anugerah Tuhan kepada seseorang, samalah seperti rupa paras yang cantik dan kelunakan suara, tidak semua orang dianugerahkan dengan rupa paras yang cantik dan suara yang lunak.

Kita boleh saja masuk kelas dandanan dan kecantikan atau kelas vokal, tetapi bukanlah jaminan untuk menjadikan kita cantik atau menjadikan suara kita lunak.

Oleh itu, para graduan yang telah lulus ijazah pertama dalam bidang yang sama dari universiti yang sama, mungkin kebanyakan dari mereka itu sekadar mempunyai ilmu pengetahuan sahaja, tetapi bilangan yang memiliki kebijaksanaan tidaklah ramai.

Sudah menjadi lumrah alam semulajadi, bilangan orang yang bijak, orang yang berfikiran kreatif, orang yang berbakat seni, orang yang berupa paras cantik, orang yang petah berkata-kata dan orang yang bersuara lunak, tidak ramai dalam sesuatu kelompok masyarakat itu. Hakikat ini perlu kita terima dalam menentukan hala tuju universiti kita.

Jika kita sebagai majikan, kita bukan sahaja mahukan pekerja yang ada ilmu pengetahuan tetapi lebih dari itu, kita mahukan pekerja juga seorang yang bijak.

Kerja seorang juruteknik hanya perlu tahu membuat kerja-kerja yang diarahkan kepadanya berasaskan pengetahuan yang dipelajarinya, tetapi kerja seorang jurutera memerlukan kebijaksanaan untuk mengolah, menelesaikan masalah, merekabentuk dan mencipta sesuatu yang baru berasaskan ilmu pengetahuan yang dipelajarinya.

Oleh itu antara juruteknik dan jurutera mungkin mempunyai ilmu pengetahuan yang sama, yang membezakan antara mereka hanyalah kebijaksanaan.

Sistem universiti di Malaysia hari ini memungkinkan semua orang boleh memasuki universiti dan peluang untuk mereka mendapat ijazah pertama adalah sama. Sehingga sukar untuk kita membezakan siapa yang patut menjadi jurutera dan siapa yang patut jadi juruteknik, siapa yang patut jadi doktor dan siapa yang patut jadi pembantu hospital (HA) atau jururawat, siapa yang patut jadi arkitek dan siapa yang patut jadi pelukis pelan.

Oleh itu kita tidak hairan dengan rungutan orang ramai hari ini, kalau mereka temui doktor, pensyarah, guru, jurutera, pegawai tadbir, peguam dan arkitek yang tidak berkualiti dalam menjalankan tugas.

Kalau di zaman 80-an dulu, bilangan universiti di negara kita tidak banyak, hanya pelajar-pelajar yang betul-betul cemerlang dalam akademik sahaja yang dapat masuk universiti. Kalau sudah dapat masuk pun belum tentu mereka boleh menamatkan pengajian dengan mudah, malah ramai yang kandas separuh jalan dan dibuang dari universiti. Graduan yang lulus dengan kelas pertama pun terlalu sedikit bilangannya dan mungkin tidak ada langsung. Tidak hairanlah kalau ketika itu, kerja yang mencari graduan universiti, bukan graduan yang mencari kerja.

Apakah kita masih juga mahu meneruskan dasar semua orang mesti masuk universiti setelah melihat kesan-kesan negatifnya kepada masyarakat?

Memang bagus kalau semua orang masuk universiti, semua orang akan ada ilmu pengetahuan, tetapi kita perlu juga ada mekanisma untuk menentukan siapa patut jadi doktor dan siapa patut jadi jururawat, siapa patut jadi jurutera dan siapa patut jadi juruteknik. Tidak semudah untuk menentukan siapa patut jadi penyanyi, kerana tidak perlu melihat kepada sijil untuk layak jadi penyanyi, cukup dengan mendengar suara saja.

Mungkin kita boleh asingkan seperti berikut; sesiapa yang dapat pangkat A dan B lulusan ijazah pertama, boleh jadi doktor dan jurutera, manakala sesiapa yang dapat pangkat C dan D lulusan ijazah pertama, hanya boleh jadi jururawat dan juruteknik.

Tetapi cara itupun belum tentu dapat menyelesaikan masalah, banyak lagi perkara yang perlu diambil kira. Pangkat A di universiti UM tentu tidak sama tarafnya dengan pangkat A di universiti UiTM. Cara penilaian antara universiti adalah berbeza, soalan peperiksaan mereka tidak sama, tidak seperti soalan peperiksaan SPM yang sama untuk seluruh Malaysia.
renung2kan..selamat beramal~


Jumaat, 20 Ogos 2010

Pulau Batu Putih



Pertikaian mengenai statu Pulau Batu Putih yang berlarutan selama 28 tahun akhirnya diputuskan hari ini oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dengan menyerahkan kedaulatan pulau tersebut kepada Singapura.
Related Posts with Thumbnails